17 February 2012

kecurian hati..

Pelik bunyi posting aku ni. Hahaha.. (gelak jahat). Kecurian hati berlaku pada sesiapa sahaja. Perkara biasa. Bukan sesuatu yang pelik. Pada aku pun dah kerapkali berlaku. Tapi kecurian itu biasanya berlaku hanya seketika. Tidak membekas pun dalam jiwa. 

Cuma... kecurian hati yang berlaku baru-baru ini agak pelik. Dah lama tak berperasaan begini.. (malu lak nak citer).. Si pencuri hati ini ku kenali baru seketika, tapi ibarat kenalnya udah lama. Hadir perasaan yang lain dijiwa. Rasa seperti dah jatuh cinta, walaupun baru pertama kali bersua muka. Yang peliknya, perasaan sama hadir pada si dia, rasa seperti ada kimia, bagai tercipta satu irama.. 

Pelik hati ini.. sukar difahami, sukar dimengerti. Aku yakin ada hikmahnya terhadap apa yang terjadi. Hati ini dicuri lagi, mungkin ini yang terakhir kali..

misi 100 hari tanpa nasi - phase 2

Misi 100 hari tanpa nasi pernah aku laksanakan dari 1 Ogos 2011 sampai 20 November 2011, dengan sasaran mengurangkan berat badan dari 98 kg kepada berat yang lebih ideal. Nyata, apa yang aku buat berhasil, apabila aku berjaya kurangkan berat badan sehingga kepada 80 kg. Dan paling jelas, badan aku turut susut.

Selepas tempoh 100 hari itu, aku mula mengambil nasi, dan hasilnya kini berat ku kembali kepada 98 kg.

Dan, mulai hari ini, aku nekad nak mulakan Fasa ke-2 Misi 100 Hari Tanpa Nasi, yang secara muktamadnya akan menyebabkan pengekalan bentuk badan dan berat badan berterusan. Tekadku, berat kalau dah turun tidak akan sesekali dibenarkan naik lagi..

Rasional aku nak lakukan ini disebabkan oleh tiga insan yang aku sayang, Eirdina Qistina, Nur Khairunnisa dan Nur Aisyah Zahirah. Teguran mereka nyata menyentap jiwa aku sekaligus membulatkan tekad aku untuk kurus atau mengurangkan kegemukan.

Semuanya gara-gara semalam masa aku menjejakkan kaki ke rumah mak dan ayah di Kelana Jaya. Masuk pagar, aku disambut tiga gadis kecil dan seorang anak bujang kecil dengan penuh gembira... Melangkah masuk ke rumah, tiga gadis kecil itu mula menegurku..

Eirdina Qistina:  Eeee.. Ayah Ngah da gemuk..
Nur Khairunnisa:  A'ah.. Ayah Ngah gemuk. Ayah Ngah gemuk..
Nur Aisyah Zahirah:  Gemuk la Ayah Ngah ni..
Gelandangan Sepi: Ala, ayah kamu pun gemuk jugak.. (geram)

p/s: untuk makluman, Eirdina Qistina menganjak usia 4 tahun pada tahun ini, Nur Khairunnisa dan Nur Aisyah Zahirah akan menyambut birthday ke-3 tahun ini... (Sentap sebab kena tegur dengan anak kecil)

14 February 2012

apa tandanya?

Hari ini, jalan sesak luar biasa. Hasrat hati nak menuju ke Universiti Putra Malaysia. Ada tugasan yang belum selesai. Esok dah masa 'submission'. Nak tak nak kena gak ke UPM bagi urusan tersebut. Nasib baik MC. Boleh la nak melapangkan masa ke sana.

Hari ini, ke UPM aku telusuri bukan jalan biasa yang jadi mainan ku setiap hari. Dek kerana jalan yang sesak, aku pilih melalui DUKE ke MRR2. Lepas tol dua hinggit, kelihatan kereta berasak-asak, berhimpit-himpit di susur ke MRR2. Aduh.. gawat ni. Sudahnya, aku lencongkan kereta ke MRR2 arah Gombak. Terlintas nak singgah ke opis lama di Ampang Ulu Kelang. Last aku berkhdimat di situ tahun 2004. Tapi kenangan tetap kenangan. Di situlah tempat aku mula kenal cara nak berurusan dengan orang. Di situlah segalanya bermula bagi aku teruskan hidup ini.

Kereta ku parkir 50 meter dari pejabat. Berhenti depan kedai Abg Mahathir yang masuk tahun ni dah mengoperasikan kedai makannya selama 12 tahun. Masa tu aku dok sibuk dengar HotFM. Sambil itu mata ku terlihat seseorang yang amat aku kenali. Ya, salah seorang bekas staff ku yang bernama Tomijau Siwan. Aku panggil beliau dengan nama Encik Jo sahaja. Aku lihat dia keluar dari pejabat, capai basikalnya (itu je la kenderaan untuk beliau pergi kerja). Beliau terus mengayuh basikal menuju ke seberang jalan. Terdetik di hati, masih kuat Encik Jo bekerja.

Aku kemudiannya singgah ke gerai Abg Mahathir dulu. Sarapan kot. Dapat la juga aku berjumpa staff lama yang lain seperti Tuan Sabri Sabran, Abg Nordin, Shahrul, Encik Pauzai (aku akan sentiasa ingat ayam masakan beliau). Dah kenyang, aku jumpa Abg Mahathir.. Bayar la, apa lagi. Hehe.. Namun, ada berita mengejutkan aku:

Abg Mahathir : Abg tau kan yang Tomijau dan meninggal tahun lepas.
Gelandangan Sepi: Innalillah.. Ya Allah, sakit apa?
Abg Mahathir: Biasa la bang sakit asma dia. Tomijau meninggal lepas 6 bulan pencen.
Gelandangan Sepi: (hanya mampu menelan air liur. Habis tu siapa yang aku nampak tadi??)

Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Setiap apa yang DIA jelmakan pasti ada sebabnya. Terima kasih Allah.

dipalit kenangan

Jam dah menunjukkan pukul 2.22 pagi. Tak tidur lagi. Hasrat hati nak siapkan kertas seminar yang satu ni. Yang wujud hasil gabungan idea dan buah fikiran rakan-rakan seperjuangan Nik Mohd Saiful, Mohd Razali Harun dan Amir Asraf Yunus. Ishh.. tak siap lagi ni. Buntu.. Serabut.. semuanya ada. Nak tak nak perlu diteruskan. Esok tarikh akhir untuk diserah maya kepada penganjur, Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Asyik mengetuk, akal ku menerobos ke lipatan kenangan. Kisah suka duka, tawa dan air mata sepanjang aku hidup dalam menongkah arus, membadai ombak kehidupan yang amat mencabar ini. Sesekali bergenang di kelopak mata, saat mengenangkan apa yang telah ku lalui selama ini.. tanpa sokongan dan dukungan daripada anggota keluarga, mahupun adik beradik. Yang ada hanya sahabat handai, rakan taulan yang sudi bersama-sama berkongsi derita ini.

Sekadar berkongsi cerita, hanya luahan untuk dijadikan pedoman, untuk dijadikan panduan bagi sesiapa sahaja yang berhajat atau berani cuba menempuh dunia yang dikenali cabaran.

Pernah dulu sekitar tahun 2006, aku jatuh. Aku jatuh terjelepuk tiada siapa tampil membantu. Tiada siapa dari kalangan saudara mara menampakkan batang hidung, sekurang-kurangnya menawarkan bantuan. Tiada. Memang tiada. Hanya yang ada aku. Aku berseorangan hadapi segala dugaan dalam usia yang masih mentah. Masih tercari-cari erti dalam hidup ini. Mujur ada kakitangan ku yang ku gelar 'side kick' tampil beri semangat baru agar aku teruskan hidup, agar aku terus bernafas di bumi Allah ini. Antara yang ku lakukan.. memotong rumput di hujung minggu dari rumah ke rumah bagi mencari sesuap nasi.

Menginjak tahun 2007, aku cuba bangkit. Sekadar mampu berdiri, jalan masih terhincut. Masih perlu dipapah dalam usaha membina semula kehidupan agar dapat bermula sebagai kain putih, yang suci nan bersih. Tapi apakan daya, takdir Allah tiada siapa mampu menduga.. Sekali lagi aku diuji pada tahun lalu. Sekitar Ramadhan Mubarak. Lantas menyaksikan aku yang masih dipapah untuk berdiri, terduduk, terguling dan tergolek. Dugaan lebih berat menimpa bila dapat khabar nama aku sudah dihantar untuk dimufliskan. Ini semua gara-gara gagal melangsaikan baki pinjaman rumah selepas rumah ku dilelong akhir 2006. 

Ya Allah berat dugaan ini. Berat bebanan ini. Mampukah aku? Hmm.. nak tido dulu. Nanti sambung ek.. Assalamu'alaikum..

12 February 2012

akhirnya..

Pernah ada insan bertanya, kenapa aku tak punyai blog? Jawapan ku mudah, tiada apa untuk dicoret, dicarit kerana aku lebih rela simpan sendiri dari 'mengetuk' nya di laman blog. Tapi nyata aku silap. Diri ini sebenarnya perlu ruangan luahan rasa, perkongsian idea dan segalanya.. Laman blog lah bisa menjadi ruangan kenangan perkongsian memori untuk tatapan bersama. Akhirnya.. Gelandangan Sepi ku miliki jua..

Terima kasih..